Pekan Muhibbah, Hub Pendidikan akan jadi tarikan pelancongan di Sandakan: Musa

8 09 2009

SANDAKAN: Pembangunan bersepadu Pekan Muhibbah dan Hub Pendidikan bakal mewujudkan dua lagi destinasi tarikan pelancongan domestik dan antarabangsa bagi daerah Sandakan yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan kepada masyarakat setempat.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan zakat untuk golongan fakir, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim dan warga emas di masjid Sri Aman Pekan Muhibbah Sungai Manila di sini kelmarin, Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman, berkata selepas siap sepenuhnya dalam masa terdekat keduanya turut mengubah lanskap ekonomi dan budaya kawasan berkenaan.

Katanya, Pekan Muhibbah yang direka bina untuk melambangkan perubahan sikap dan minda masyarakat bagi menggapai kemajuan mapan berupaya berkembang sebagai tarikan pelancongan berasaskan produk kraf tangan yang dihasilkan masyarakat buta di pusat latihan Taman Cahaya yang kini hampir siap sepenuhnya.

“Disokong dengan pembinaan perumahan rakyat serat kemudahan infrastruktur lain seperti Kompleks Sukan Komuniti, Bangunan Kemas, pusat perniagaan dan laluan terdekat ke Pulau Silingan, saya yakin Pekan Muhibbah akan menjadi lokasi pelancongan menarik kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Menteri, Hub Pendidikan di Sungai Batang yang berjiran dengan Pekan Muhibbah akan menjadi bandar keilmuan berkualiti antarabangsa dengan kewujudan berbagai institusi pengajian serta kolej bakal jadi tumpuan pelajar bukan saja tempatan malah luar negara.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Kewangan, mahu rakyat di sekitar zon pembangunan itu bersedia dan berani menerima perubahan sekitar mereka serta perlu menjadi sebahagian penggerak aktiviti sosio-ekonomi dan budaya jika tidak mahu terpinggir dari kemajuan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional untuk mereka.

“Kita sedar ramai kalangan penduduk yang mempunyai berbagai kebolehan dan kemahiran untuk menghasilkan pelbagai produk samada kraf dan produk makanan yang mampu diusahakan secara kecil-kecilan bagi mengisi peluang-peluang perniagaan yang bakal ada di Pekan Muhibbah,” katanya.

Berucap di majlis serupa di Kampung Sg Batang, Musa yang juga wakil rakyat Sg Sibuga melegakan rasa resah penduduk setinggan pinggir jalan di kawasan berkenaan yang bakal kehilangan rumah kerana lokasi tempat tinggal itu terlibat dengan pembangunan projek Hub Pendidikan.

Beliau berkata, Hub Pendidikan Sungai Batang akan dikenali sebagai Bandar Ilmu bertujuan untuk menjadikan Sandakan Pusat pendidikan berkualiti antarabangsa dengan kewujudan Institusi Pengajian Tinggi serta kolej yang dikendalikan oleh golongan pensyarah berkebolehan tinggi.

“Inilah janji dan perjuangan suci kerajaan Barisan Nasional untuk rakyat, segala apa yang dibangunkan kerajaan bukan saja untuk kita nikmati hari ini malah untuk generasi akan datang iaitu anak cucu kita supaya mereka mendapat pendidikan terbaik dan menjadi warganegara betul-betul merasa merdeka dalam negara sendiri.

“Dengan adanya bandar ilmu di Sg Batang, kita tidak lagi perlu bimbang untuk menghantar anak cucu kita ke luar negeri kerana kita sudah ada pusat pengajian tinggi yang mutunya sama dengan universiti luar negara,” katanya.

Malah katanya, dalam merancakkan pembangunan, kerajaan turut mengambil kira kepentingan rakyat khususnya mereka yang terlibat dengan projek kerana objektif setiap perancangan kerajaan adalah untuk rakyat.

Sehubungan itu, menurut Musa, kerajaan juga akan menyediakan perkampungan kekal kepada penduduk setinggan Sg Batang yang rumah mereka terlibat dengan projek pembangunan Hub Pendidikan yang dilengkapi dengan Infrastruktur Asas Sosial (IAS).

“Kita akan berikan lot-lot perumahan kekal kepada mereka untuk mereka membangunkan rumah mereka dengan lebih selesa dan selamat ,tidak seperti sekarang di mana mereka membina rumah di tanah-tanah kerajaan serta tanah milik perseorangan secara tidak sah yang menyusahkan keluarga mereka, dengan adanya penampatan kekal ini, keutamaan diberikan kepada penghuni setinggan sepanjang pinggir jalan di Sg Batang,” katanya.

Turut hadir dalam rombongan beliau, Adun Gum-Gum, Datuk Hj Zakaria Hj Mohd Edris; Ketua Daerah Sandakan, OKK Hj Awang Damit Hj Abdul Rahim; Pemangku Pengarah Jasa, Hj Abdul Manaf Hj Lakariba; Pemimpin Kemajuan Rakyat Sg Sibuga, Hj Basra Hj Abdul Rahman dan Pegawai Jheains Sandakan.

Ketua Menteri menyampaikan sumbangan kepada lebih 400 penerima di kedua-dua kampung.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: